The End of the F***ing World

Selepas kejayaan 13 Reasons Why, Netflix kembali mengetengahkan kisah remaja “bermasalah” dalam siri The End of the Fxxxing World. Penulis mengakui, sewaktu pertama kali melihat iklan di Netflix, penulis merasakan tajuknya agak keterlaluan. Mereka sedang melalui fasa remaja, apa yang menyebabkan kebencian total mereka terhadap seluruh dunia pada usia yang masih muda?

Digarap dari novel grafik dengan tajuk yang sama nukilan Charles Forsman, siri ini dimulakan dengan pengenalan watak James (Alex Lawther), seorang remaja berumur 17 tahun yang diakui oleh dirinya sendiri, seorang psikopat. Dia gemar membunuh binatang sejak kecil, dan dia mula bosan. Dia mahu membunuh binatang yang lebih besar (baca: manusia). Alyssa (Jessica Barden), juga 17 tahun, ialah rakan sekolah James. Berbeza dengan James yang pendiam dan berada di dalam dunianya sendiri, Alyssa seorang yang lebih ekspresif dan bermulut lancang. Malah, dia yang mula menegur James di sekolah. James yang sedang mencari mangsa untuk dibunuh bersetuju untuk mengikut Alyssa mencari bapa kandungnya. Bermulalah pengembaraan dua remaja dengan motif yang berbeza.

Di dalam perjalanan mereka, penonton akan mula mengenali James dan Alyssa yang sebenar, yang bersembunyi di sebalik kenakalan melampau dan perbuatan luar jangkaan. Mereka masing-masing ada kisah lampau yang pahit, terutamanya James. Watak James yang mulanya seorang introvert, mula berkembang dengan adanya Alyssa yang mengemudi kebanyakan rancangan mereka.

Kekuatan siri ini terletak kepada dua pelakon muda yang sangat berbakat. Alex Lawther dan Jessica Barden yang berjaya menjiwai watak remaja bermasalah dengan baik. Penonton akan merasa jengkel, sakit hati dan kadang kala kasihan dengan kedua watak. Plot siri ini juga dibina dengan baik, dan membuat penonton terus tertanya tanya, apakah kesudahan James dan Alyssa? Adakah James akan membunuh Alyssa? Atau adakah mereka akan melengkapkan misi pencarian mereka? Dan paling penting, masih benci kan mereka terhadap seluruh dunia di akhir siri? Walaupun tema siri ini agak gelap, ia diseimbangkan dengan komedi pada waktu yang tepat. Jadi penonton tidak akan rasa “terbeban” menontonnya.

Secara keseluruhan, The End of the F***ing World adalah siri coming of age yang sangat baik. Di penghujung siri, penonton akan merasa lega yang semua orang hanya akan merasai pengalaman menjadi remaja sekali seumur hidup. Dengan hanya 8 episod dan 20 minit setiap episod, siri ini sesuai dijadikan senarai binge watch di hujung minggu. Oh, dan runut bunyi untuk siri ini juga sangat menarik!

Tinggalkan komen?