La Casa de Papel (Bahagian 1)

La Casa de Papel adalah sebuah siri TV berasal dari Sepanyol yang kini sedang boleh ditonton melalui Netflix. Terjemahan secara literal La Casa de Papel ialah Rumah Kertas (House of Paper) walaupun judul rasminya di dalam bahasa Inggeris ialah Money Heist.

Di TV Sepanyol, siri ini mengandungi 15 episod yang dibahagikan kepada 2 bahagian. Namun, untuk Netflix versi antarabangsa, hanya 9 episod pertama yang baru ditayangkan dan 9 episod tersebut dioalah semula kepada 13 episod. Hanya Netflix Sepanyol yang menayangkan keseluruhan episod.

Bagi peminat cerita berunsurkan jenayah rompakan terancang, siri ini adalah untuk anda. Sebelum mula menonton siri ini, penulis terlebih dahulu mencari berapa jumlah episod yang ada pada siri ini – 13 episod. Jujurnya, penulis agak skeptikal bagaimana cerita berkenaan sebuah rompakan boleh diolah menjadi 13 episod. Selesai sahaja menonton episod pertama, segala keraguan penulis hilang. Jika bukan kerana esok adalah hari bekerja, sudah pasti penulis akan binge-watch siri ini sehingga tamat.

Secara umum, siri ini hanyalah berkisarkan seorang lelaki, The Professor (El Profesor) yang telah merekrut 8 orang dari pelbagai latar belakang untuk bersama-samanya menjayakan sebuah rompakan yang terbesar di dunia. Matlamat mereka adalah untuk melakukan rompakan di Royal Mint of Spain (Fábrica Nacional de Moneda y Timbre – Real Casa de la Moneda), sebuah bangunan di mana duit kertas dalam matawang Euro dicetak. Jumlah sasaran rompakan mereka ialah 2.4 billion Euro. Bagaimana? Dengan menduduki bangunan tersebut selama beberapa hari dan mengambil alih proses mencetak wang kertas; sesuatu yang belum pernah diketengahkan oleh mana-mana filem mahupun siri TV sebelum ini. 

Di sebalik premis yang mungkin kelihatan ringkas, kekuatan siri ini terletak pada ketelitian El Professor dalam merancang rompakan tersebut dengan begitu teliti. Malahan mereka sebenarnya dipaksa untuk tinggal di sebuah rumah agam yang terletak jauh dari bandar selama 5 bulan sebelum rompakan tersebut dilakukan. Mereka langsung tidak dibenarkan keluar dan aktiviti seharian adalah untuk mempelajari dan menghafal dengan terperinci perancangan yang telah disiapkan oleh El Professor. Pengarah bijak untuk menyelitkan adegan-adegan persiapan di rumah tersebut dengan teknik imbas kembali, yang tidak mencacatkan jalan cerita, malah membuatkannya lebih menarik dan tidak membosankan.

Walaupun segalanya telah dirancang dengan begitu teliti dan setiap tindak-tanduk pihak polis telah diagak, namun telah berlaku kejadian-kejadian di luar jangkaan El Profesor semasa rompakan tersebut. Perkara-perkara inilah yang membuatkan penonton ternanti-nanti untuk terus menonton. Hook di penghujung setiap episod diletakkan dengan begitu baik.

Satu lagi perkara menarik dalam siri ini ialah apabila penceritaan berkenaan perompak dengan pihak berkuasa adalah seimbang. Kebiasaannya, sesebuah filem atau siri berkenaan rompakan akan cuba memaparkan suatu pihak sebagai baik atau hero dan suatu pihak lagi adalah sebaliknya. Namun siri ini berjaya menonjolkan cerita di kedua-dua belah pihak dan membiarkan penonton sendiri menilai mereka. Apatah lagi apabila El Profesor telah menetapkan syarat bahawa tidak akan ada pertumpahan darah yang akan berlaku. Mereka juga menyatakan bahawa mereka bukanlah mencuri duit milik sesiapa kerana mereka mencetak wang tersebut yang belum menjadi milik sesiapa. Tidak dilupakan juga penonton akan melihat apakah tindakan tebusan-tebusan sepanjang tempoh tersebut; bagaimana manusia berubah apabila berada dalam situasi hidup atau mati.

Bagi penulis, ini adalah siri pendek yang amat menarik dan berbaloi untuk binge-watching. Diharapkan Netflix akan menayangkan Bahagian 2 siri ini dengan segera. Oh ya, lagu intro siri ini juga best!

 

Tinggalkan komen?