Alias Grace

Jika anda seorang peminat genre fiksyen misteri dan sedang tercari-cari judul untuk anda binge-watch di Netflix, anda patut menonton Alias Grace. Sebagai limited series yang hanya mempunyai 6 episod, anda boleh menghabiskannya dalam hari yang sama. Alias Grace merupakan siri TV Kanada-Amerika. Mula-mula ditayangkan di CBC Television di Kanada dan kemudiannya di Netflix untuk pasaran antarabangsa. Siri ini adalah berdasarkan novel dengan judul yang sama tulisan Margaret Atwood.

Berlatarbelakangkan tahun 1800an, Alias Grace mengisahkan Grace Marks, seorang pembunuh (digelar “celebrated murderess” dalam siri tersebut) yang telah berada di dalam penjara selama 15 tahun. Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh Thomas Kinnear dan Nancy Montgomery. Manakala rakan subahatnya, James McDermott, telah dijatuhkan hukuman gantung. Grace merupakan pembantu rumah Thomas Kinnear semasa pembunuhan tersebut berlaku. Manakala Nancy Montgomery juga seorang pembantu rumah kepada Thomas Kinnear.

Awal penceritaan memaparkan Grace dibenarkan keluar daripada penjara untuk beberapa hari untuk bekerja sebagai pembantu rumah kepada Gabenor (Warden) Penjara. Melihatkan tingkah-laku baik Grace, beberapa orang daripada gereja mengupah Dr. Simon Jordan, seorang pakar psikiatri dengan harapan dia dapat mengemukakan bukti bahawa Grace bukanlah seorang pembunuh, tetapi hanyalah seorang yang mengalami gangguan mental (histeric). Jika Dr. Jordan adalah seperti yang mereka harapkan, maka Grace berpeluang untuk dibebaskan dari penjara.

Dr. Jordan memulakan rawatan dengan meminta Grace menceritakan latar-belakang hidupnya. Grace berasal daripada keluarga yang boleh dikatakan sebagai porak-peranda. Ayahnya seorang pemabuk dan kerap memukulnya terutamanya selepas kematian ibunya. Pada suatu hari, ayahnya memaksanya keluar untuk bekerja dan menghantar wang kepadanya. Dari situ, Grace mula menjadi seorang pembantu rumah.

Setiap hari, Grace akan bercerita kepada Dr. Jordan sehinggalah kepada kemuncaknya apabila dia akan menceritakan memorinya terhadap pembunuhan Thomas Kinnear dan Nancy Montgomery. Namun konflik mula timbul apabila ceritanya berlainan daripada pengakuannya di mahkamah sebelum ini dan Dr. Jordan menghadapi masalah sama ada untuk mempercayai cerita Grace.

Bagi penulis, sinematografi siri ini amat cantik. Pembunuhan tersebut berlaku pada tahun 1843 dan latar masa adalah dalam abad tersebut. Biarpun hanyalah sebuah siri 6 episod, ketelitian terhadap kostum, seni reka bangunan, dan latar belakang seharusnya diberi pujian. Yang paling menarik minat penulis ialah skrip dan dialognya. Grace mempunyai satu dialek (accent) dan cara percakapan yang unik (distinct). Begitu juga dengan watak-watak lain, memandangkan mereka semua bukan berasal dari tempat yang sama. Namun pagi penulis, lenggok percakapan Grace sangat memberi kesan dan memainkan peranan yang penting dalam cerita ini.

Dari segi plot, cerita ini juga dikembangkan dengan cara yang baik. Walaupun terdapat banyak babak imbas kembali (flashback), ia dilakukan dengan baik dan tidak membuatkan penonton bingung. Jika diteliti, sepanjang cerita tersebut terdapat suara latar yang boleh kita klasifikasikan sebagai inner thought Grace. Namun begitu, realiti sebenar suara tersebut hanya diketahui pada babak-babak terakhir cerita ini. Pada pendapat penulis, gaya penceritaan ini amat menarik dan ia sebenarnya berjaya menutup lompong-lompong yang biasanya akan berlaku apabila sebuah buku diadaptasikan kepada siri mahupun filem. Setiap episod akan membawa penonton lebih dekat kepada penyelesaian misteri siapakah pembunuh sebenar Thomas Kinnear dan Nancy Montgomery; dan semuanya terungkai pada episod terakhir. Namun begitu, masih ada ruang untuk penonton memilih sendiri penutup yang penonton ingin percaya. Tidak banyak cerita yang berjaya melkukannya.

Secara keseluruhan, penulis berpendapat bahawa siri ini sewajarnya ditonton jika anda seorang peminat siri TV dengan genre misteri. Sedikit-sebanyak, penonton dibawa untuk melihat realiti kehidupan di Kanada pada tahun 1800an. Cerita digarap dengan teliti dan penulis yakin anda akan menghabiskan siri ini dalam masa kurang 24 jam, jika bukan sekali-gus.

 

Tinggalkan komen?