Garis Panduan Ulasan

Kami bukanlah pakar dalam dunia perfileman. Kami sekadar penggemar filem yang berminat untuk berkongsi pendapat kami. Ulasan kami adalah berdasarkan pemerhatian kami dan apa yang kami rasa semasa menonton dan tidaklah dibandingkan dengan teknik-teknik dunia perfileman kerana kami sendiri pun tidak mahir. Jika inginkan ulasan pakar, ada pelbagai laman lain yang anda boleh jadikan sebagai rujukan. Bagi kami, kami tulis apa yang kami rasa.

Walaupun begitu, bermula bulan Mac 2018 hingga seterusnya kami akan menggunakan garis panduan di bawah di dalam penulisan ulasan kami. Sebab utama kami mengeluarkan garis panduan ini adalah agar (1) Memudahkan kami untuk menulis ulasan (2) Memudahkan kami untuk menonton filem agar dapat memfokuskan kepada kriteria tertentu dan (3) Memudahkan pembaca memahami ulasan kami. Apabila penulisan ulasan mengeluarkan rating, seperti kami menggunakan 5 bintang, ramai tertanya-tanya apa maksudnya. Secara jujur kami sendiri tidak boleh menerangkannya secara terperinci, melainkan ianya sekadar apa yang kami rasa sesuatu filem itu patut dapat.

Aspek-aspek Ulasan

Ulasan kami adalah berdasarkan 5 aspek berikut –

Cerita – Asas kepada sesuatu filem adalah cerita yang cuba disampaikan, melalui aspek ini kami akan memberi pendapat mengenai kualiti cerita ataupun jalan cerita untuk sesuatu filem. Cerita ini akan dilihat dari awal sampai akhir tanpa mengambil kisah mengenai kelajuan ataupun susunan penceritaan. Sebaliknya penceritaan akan diambil secara menyeluruh.

Lakonan & Watak – Penggerak kepada cerita adalah pelakon dan watak yang dipegang. Melalui aspek ini kami akan menilai kualiti lakonan dan kesesuaian seseorang pelakon itu memegang watak di dalam filem yang diulas. Kami juga akan menilai bagaimana setiap watak dibina dan penambahan nilai watak tersebut untuk sesuatu filem.

Arahan – Aspek ini akan kami nilaikan dari segi penceritaan, terutama dari segi kelajuan dan susunan penceritaan. Walaupun sesuatu filem mempunyai jalan cerita yang baik tetapi penceritaan memainkan peranan penting untuk menyampaikan cerita kepada penonton dan pengarah yang bertanggungjawab sebagai penglipur lara untuk sesuatu filem.

Dialog – Melainkan filem itu adalah filem bisu, dialog seperti penceritaan akan menggerakkan cerita. Dialog berperanan untuk menyampaikan emosi dan keadaan sesuatu plot dan melalui aspek ini kami akan menilai keberkesanan dialog di dalam sesuatu filem.

Nilai Produksi – Aspek ini dengan bahasa mudah adalah bagaimana filem itu kelihatan, adakah bersesuaian dengan penceritaan? Bergantung kepada jenis filem, kami juga akan menilai kualiti aksi/stunt, kualiti special effect, kualiti kostum dan muzik yang digunakan termasuk latar muzik.

Bagaimana Rating Diberi

Untuk setiap aspek ini akan diberikan satu bintang untuk kami memberi rating, dan rating akan diberi sama ada kosong, separuh atau bintang penuh. Oleh kerana ada 5 aspek kesemuanya, satu filem akan mempunyai 5 bintang. Sebagai contoh jika sesuatu filem mendapat separuh bintang untuk kesemua aspek, filem tersebut akan mendapat rating akhir sebanyak 2.5 daripada 5. Buat masa ini kami akan menunjukkan rating akhir sahaja, bintang untuk setiap aspek adalah untuk penulis kerana kami tidak mahu ulasan dilihat kepada nilai bintang sahaja berbanding membaca apa yang tertulis.

Kami juga mengamalkan untuk menulis terlebih dahulu sebelum memberikan bintang, dan sangat menggalakkan untuk anda membaca terlebih dahulu ulasan kami sebelum menilai sesuatu filem kerana mungkin apa yang kami tidak gemar mengenai sesuatu filem tidak menjadi masalah untuk anda. Kami akan sentiasa mencari cara untuk menulis ulasan yang lebih baik, jadi garis panduan ini boleh dijangkakan akan ditukar dari semasa ke semasa.

Selamat menonton.