Ulasan Surf This Love: Gelora Juara

Sebelum pulang dari tempat kerja, penulis terlintas untuk menonton wayang. Melihat kepada senarai filem yang ditayangkan, tiada filem yang menarik minat penulis tetapi kerana ingin juga menonton sesuatu, penulis memilih Surf This Love: Gelora Juara (STL) kerana ianya satu-satunya filem berbahasa Melayu yang sedang ditayangkan….baiklah anda betul, ada filem Badang tetapi tayangannya adalah terhad. Berbalik kepada STL, penulis langsung tidak membaca sinopsis mahupun melihat poster filem ini, hanya tiket yang dibeli. Dengan kata lain penulis tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai filem ini, selepas habis menonton barulah penulis serba sedikit membuat mencari maklumat mengenai filem ini.

STL diarahkan oleh Wan Mohd Hafiz (Waan Hafiz). Secara jujur penulis tidak pernah menonton filem arahan beliau jadi penulis tidak mempunyai sebarang pendapat mengenai cara arahan beliau selain daripada filem ini. Antara filem arahan beliau adalah Diam Diam Sayang, Hantu Tok Mudim dan Mat Tudung.

STL adalah mengenai surfing, ya, surfing ombak, ya filem ini berlaku di Malaysia secara khususnya di Pulau Tioman, pelik bukan? Boleh bayangkanlah perasaan penulis yang tidak tahu apa-apa dan tiba-tiba filem berbahasa Melayu bercakap mengenai surfing. STL mengikut watak Billy (Syukri Yahya) yang berminat untuk menceburi dalam bidang surfing kerana abangnya Bobby (Mustaqim Bahadon) merupakan seorang surfer yang hebat akan tetapi sudah meninggal dunia. Walaupun mempunyai minat, Billy tidak langsung pandai kerana tidak mempunyai guru. Dia meminta Jimmy (Pekin Ibrahim) iaitu rakan kepada abangnya untuk mengajarnya akan tetapi kerana sebab peribadi dia menolak permintaan Billy.

Mia (Christine Suzanna) merupakan seorang blogger yang datang ke Pulau Tioman untuk menulis mengenai pelancongan di sini. Dia ditemani rakannya iaitu Lia (Ardell Aryana) adik kepada Jimmy dan juga rakan kepada Billy. Billy yang bekerja dengan Siti (Syuhaida Abraz) iaitu kakaknya sebagai pemandu pelancong menjadi pemandu untuk Mia ke tempat-tempat menarik dan bermula dari situlah Billy mula jatuh hati sehinggalah dia menyedari teman lelaki Mia adalah Mike (Josiah Hogan), iaitu rakan kepada abangnya dan juga Jimmy. Mike juga merupakan idola kepada Billy kerana merupakan seorang surfer yang hebat.

STL mempunyai cabang penceritaan yang baik, selain daripada mengenai Billy yang cuba menjadi surfer yang hebat, ada juga penceritaan yang melibatkan tiga sahabat iaitu Bobby, Jimmy dan Mike yang merupakan surfer yang hebat mewakili Malaysia di pertandingan luar negara sebagai Trio Malaya ada juga penceritaan cinta tiga segi antara Mia, Billy dan juga Mike. Apabila penceritaan berkembang, STL menjadi sangat menarik diselangi juga dengan lawak-lawak yang baik kerana pada asasnya STL adalah filem komedi cinta. Walaupun penceritaan banyak bertumpu kepada Billy kerana dia adalah watak utama tetapi penceritaan mengenai Trio Malaya yang bagi penulis sangat menarik perhatian, bahkan penulis merasakan harus ada satu filem lain untuk mereka.

Penceritaan cinta antara Mia, Billy dan Mike pula pada awalnya agak baik terutama sebelum watak Mike tiba kerana bagi penulis perhubungan Mia dan Billy dilakukan dengan agak perlahan dan kemas, tidak terlalu gopoh. Apabila Mike muncul penceritaan mula berubah menjadi sedikit gopoh, dan perhubungan Mia dan Mike di dalam filem ini nampak agak kebetulan yang melampau dengan kata lain drama sekadar untuk drama dan penamatan penceritaan ini juga agak cliché. Penulis merasakan penceritaan antara mereka bertiga adalah agak tidak diperlukan. Watak Mia boleh dilakukan dengan cara lain, terutamanya tanpa melibatkan Mike yang sudah mempunyai penceritaan yang baik secara sendiri. Akan tetapi kerana penceritaan yang baik mengenai Billy dan juga Trio Malaya, keseluruhannya penulis sangat tertarik dengan filem ini.

Kekuatan filem STL adalah perwatakan setiap watak dan juga lakonan yang baik. Perwatakan Billy, Jimmy, Mike, Mia, Lia dan Siti adalah sangat unik. Masing-masing membawa sesuatu yang lain untuk filem ini. Billy adalah seorang yang ceria, pak lawak dan lurus bendul. Jimmy seorang yang kecewa dengan kehidupannya tetapi pada masa sama sering bertutur memberi nasihat walaupun nasihatnya sukar untuk difahami. Jimmy pula seorang yang ego dan kaki buli. Mia seorang yang agak matang dan tenang dalam menghadapi masalah. Lia seorang yang ceria pada masa sama sangat prihatin terutama kepada abangnya. Siti seorang kakak yang tegas tetapi sangat sayangkan adiknya. Lakonan-lakonan mereka sangat baik walaupun bagi penulis ekspresi mereka ada kalanya agak melebih. Dialog juga dilakukan dengan baik, walaupun banyak babak yang menggunakan bahasa yang berbunga-bunga akan tetapi tidak langsung rasa janggal sebaliknya kerana perwatakan yang baik, kata-kata yang dikeluarkan walaupun berbunga dapat dijangkakan oleh penonton. Jika anda tertanya mengapa nama watak adalah nama ‘oreng puteh’, STL akan menerangkannya dengan baik dan boleh diterima, tetapi penulis tidak akan memberitahunya di sini.

Dari segi sinematografi, STL melakukan dengan baik terutama untuk pemandangan, penulis teringin untuk melawat Pulau Tioman selepas menonton filem ini. STL juga banyak menggunakan rakaman dari dekat terutama untuk watak, yang adanya menjadikan dialog lebih menarik akan tetapi ada beberapa babak yang kerana teknik ini digunakan menjadikannya agak janggal dan babak tersebut tidak menjadi yang merupakan satu kerugian. Babak semasa surfing juga tidak dilakukan dengan baik, penulis tidak nampak apa yang sebenarnya berlaku dan kamera yang digunakan bagaikan lebih rendah kualiti berbanding kamera yang digunakan untuk babak-babak lain.

Keseluruhan, STL mempunyai jalan cerita yang baik walaupun lemah dari segi percintaan. Perwatakan setiap watak ditulis dengan baik dan setiap watak membawa satu yang kelainan ditambah lagi dengan lakonan dan setiap watak dijiwai dengan baik perwatakan mereka. STL adalah filem yang cantik, dilakonkan di Pulau Tioman akan tetapi ada beberapa kali yang watak yang bercakap difokuskan terlalu dekat yang sedikit mengganggu. Kesemua ini diiringi dengan baik melalui muzik latar filem ini. STL semestinya sesuatu yang segar untuk filem tempatan bukan sahaja kerana mengenai surfer akan tetapi kerana membawa sesuatu yang unik dalam penceritaan.

Tinggalkan komen?