To the Bone

Penulis mengambil peluang tiga hari hujung minggu tempoh hari untuk menonton beberapa filem di Netflix. Salah satunya, penulis memilih untuk menonton To the Bone, sebuah filem indie yang mana hak penyiarannya dibeli oleh Netflix.

Sejak kebelakangan ini, rakyat Malaysia terutamanya warga netizen mula menyedari akan wujudnya pesakit-pesakit mental dalam kalangan masyarakat yang jarang diberi pendedahan sebelum ini. Filem To the Bone berkisarkan salah satu daripada penyakit mental tersebut iaitu anoreksia (anorexia). Secara mudah, penghidap anoreksia adalah mereka yang mempunyai keinginan untuk kurus ataupun ketakutan bertambah berat yang melampau yang akhirnya menyebabkan mereka mengelakkan makan.

Watak utama filem ini, Ellen adalah penghidap anoreksia. Babak-babak awal cerita ini menggambarkan Ellen sedang menjalani rawatan di hospital kerana masalah tersebut. Namun, selepas dibenarkan pulang, keadaan Ellen tidak banyak berubah. Jadi keluarganya berusaha untuk mencari pakar rawatan yang lain yang boleh menyembuhkan Ellen. Ibu tirinya kemudian memujuknya untuk mendapatkan rawatan yang dikendalikan oleh Dr. William Beckham, watak yang dilakonkan oleh Keanu Reeves. Dr. Beckham mewajibkan semua pesakitnya untuk menjalani program inpatient selama 6 minggu di sebuah rumah yang turut didiami oleh 6 pesakit lain yang kesemua mengalami masalah berkaitan pemakanan. Dari situ, plot cerita mula berkembang apabila Ellen mula berinteraksi dengan rakan-rakan barunya, termasuk satu-satunya pesakit lelaki di rumah tersebut iaitu Luke.

Secara keseluruhan, filem ini adalah filem yang okay bagi sesiapa yang baru mula mengenali apakah itu anoreksia. Namun, bagi yang mengharapkan kupasan yang lebih mendalam, ataupun mengenal kaedah unik Dr. Bekham yang boleh menyembuhkan penyakit ini, anda mungkin akan sedikit kecewa. Penulis adalah salah seorang daripada penonton yang sedikit kecewa, terutamanya pada bahagian penutup cerita ini. Nampak seperti terlalu mudah. Namun begitu, penulis amat mengharapkan agar ramai yang dapat menonton filem ini dan mengambil pangajaran mahupun kesedaran akan penyakit anoreksia ini. Jika bukan kita yang menghidapnya sekalipun, mungkin ada antara ahli keluarga atau rakan-rakan kita yang memerlukan bantuan tanpa kita sedari.

 

Tinggalkan komen?