Three Billboards Outside Ebbing, Missouri

Pertama kali penulis mengetahui tentang filem ini ialah semasa membaca berita berita berkenaan tragedi tembakan rambang di sebuah sekolah di Florida, Amerika Syarikat. Sebuah kumpulan aktivis bernama Avaaz telah meniru gaya sebuah filem bertajuk Three Billboards Outside Ebbing, Misouri untuk mengkritik tindakan Senator Marco Rubio yang mempertahan pendirian Presiden Donald Trump untuk tidak mengetatkan undang-undang kawalan senjata api di negara tersebut.

Tajuk filem ini sendiri sebenarnya agak mengelirukan. Terutamanya jika dibaca di dalam artikel berbahasa Inggeris. Namun pada masa yang sama, ia berjaya menarik perhatian terhadapnya; sekurang-kurangnya bagi penulis sendiri yang memilih untuk menonton filem ini semata-mata berdasarkan tajuknya yang unik. Hanya selepas menonton filem ini baru lah penulis sedar bahawa filem ini dicalonkan sebagai finalis untuk kategori Filem Terbaik pada Anugerah Akademi ke-90 yang berlangsung baru-baru ini.

Three Billboards Outside Ebbing, Missouri merupakan sebuah filem drama. Tanpa aksi, kesan khas, mahupun sinematografi yang kompleks, kekuatan filem ini disandarkan sepenuhnya kepada cerita yang disampaikan. Filem ini berkisarkan Mildred Hayes yang masih bersedih dengan kematian tragis anak perempuannya kira-kira setahun yang lalu. Dia merasakan yang polis tidak melakukan yang terbaik untuk membawa pelakunya ke muka pengadilan. Jadi, dia telah menyewa tiga papan iklan besar di bahu jalan yang bertulis (1) RAPED WHILE DYING (2) AND STILL NO ARRESTS? (3) HOW COME, CHIEF WILLOUGHBY?. Keputusannya untuk mempamerkan mesej tersebut akhirnya membawa kepada pelbagai kejadian dan insiden di Pekan Ebbing.

Watak Mildred dilakonkan oleh Frances McDormand. Apabila digabungkan dengan cara penceritaan yang cukup bijak oleh Martin McDonagh, watak yang terhasil adalah sesuatu yang menakjubkan. Memang selayaknya Frances McDormand menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik bagi Anugerah Akademi ke-90. Ini merupakan Oscar kedua baginya yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Fargo pada tahun 1997. Selain Fraces McDormand, Sam Rockwell yang melakonkan watak Jason Dixon iaitu seorang polis tempatan yang racist, ganas dan tidak berdisiplin turut memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Related image

Berkenaan plot filem ini, pada awalnya penonton mungkin tertanya-tanya apakah yang membuatkan Mildred sangat berdendam dengan polis? Adakah kerana cara anaknya dibunuh? Adakah kerana pembunuh tersebut dilindungi? Sedikit demi sedikit, adegan imbas kembali mula memberikan klu-klu kepada penonton tentang apa sebenarnya yang terjadi. Rentak penceritaan adalah baik dan filem ini tidak dihiasi oleh sub-plot yang menggangu keseluruhan cerita. Martin menggunakan open-ended ending kepada filem ini, yang sedikitpun tidak mencacatkan cerita kerana pengakhiran cerita bukanlah matlamat utama filem ini.

Secara keseluruhannya, filem ini merupakan antara filem drama terbaik bagi tahun 2018, setakat ini. Namun begitu, tidak seperti filem drama lain yang sedaya upaya cuba untuk memerah air mata daripada para penonton, tiada satu pun babak yang akan membuatkan penonton mengalirkan air mata. Bagi penulis sendiri, perasaan yang cuba disentuh oleh filem ini ialah tentang sebuah penyesalan. Betapa sebuah penyesalan mampu untuk membuatkan kita bertindak di luar batasan. Lebih-lebih lagi apabila penyesalan tersebut adalah terhadap seseorang yang telah tiada. Dengan pelbagai anugerah di pelbagai Festival Filem, termasuk 7 pencalonan dan 2 kemenangan di Anugerah Akademi anda tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menonton filem ini.

 

Tinggalkan komen?