The Third Murder (Sando-me No Satsujin)

The Third Murder merupakan filem dari Jepun yang diarahkan oleh Hirokazu kore-eda. Filem ini bergenrekan drama misteri, yang berkisahkan mengenai Misumi (Koji Yakusho) didapati bersalah membunuh bekas majikannya dan dia sendiri mengaku pembunuhan ini. Shigemori (Masaharu Fukuyama) seorang peguam diminta oleh kawannya Settsu (Kotaro Yoshida) yang merupakan peguam kepada Misumi untuk mengambil alih kes ini. Shigemori bukanlah diminta untuk menjadikan Misumi tidak bersalah akan tetapi untuk kurangkan hukuman dari gantung sampai mati kepada penjara seumur hidup. Kes yang pada awalnya nampak agak jelas menjadi kabur apabila Shigemori mula mendapat fakta-fakta baru yang menyebabkan dia sendiri mempersoalkan prinsip dirinya sendiri.

Filem ini agak perlahan dan penulis merasakan tidak semua akan menyukainya. Jika anda seorang yang tidak kisah filem yang perlahan yang banyak mengerakkan penceritaan menggunkaan dialog filem ini adalah untuk anda tetapi kalau tidak anda mungkin tidak perlu menontonya kerana filem ini mungkin akan membuatkan anda tertanya-tanya “kenapalah aku tengok cerita ni?”. Dari awal hingga akhir filem ini bergerak dengan sangat perlahan, bahkan musik latar yang digunakan bagaikan menyuruh untuk penonton menonton filem ini dengan tenang seperti membaca buku di waktu pagi sambil menghirup kopi panas.

Perlahan-lahan, satu persatu plot diungkai dengan sangat baik. Satu kes yang pada awalnya nampak senang menjadi rumit tetapi pada masa tetap mengekalkan ketenangan penceritaan. Tiada babak yang menjadikan filem ini mencapai klimaks sebaliknya ia bergerak secara mendatar tetapi pada masa sama menambah misteri kepada penceritaan. Walaupun misteri semakin bertambah, penonton tetap dapat mengikuti segala penceritaan tiada bahagian di dalam filem ini yang menjadikan penonton keliru tetapi pada masa penonton tetap tidak dapat dengan sepenuhnya tahu apa yang berlaku. Inilah kekuatan filem ini.

Ada beberapa penceritaan yang penulis merasakan agak janggal untuk dimasukkan kedalam filem ini. Sebagai contoh kisah mengenai Shigemori dan anak perempuanya, walaupun penceritaan ini mengembangkan lagi perwatakan Shigemori tetapi penulis merasakan penceritaan yang dibuat sedikit tergantung yang membuatkan penulis tertanya kenapa perlu dimasukkan jika tidak ingin dihuraikan.  Walaupun begitu kesuruhan penceritaan tidaklah terganggu dan masih mengekalkan kelajuan yang sama.

Bahasa jepun mempunyai keunikan dimana agak tenang untuk didengari, filem ini sepenuhnya mengunakan kekuatan ini. Lakanon yang ditampilkan agak tenang tetapi apabila perlu membuatkan penonton fokus kepada sesuatu babak, kamera dan air muka digunakan dengan sangat baik. Lakonan semua sangat baik dan penjiwaan watak yang berkesan membuatkan penonton boleh merasai apa yang sepatutnya satu watak itu rasa.

Filem ini mengunakan konsep misteri dengan sangat baik, apabila penceritaan sudah nampak jelas, sedikit perubahan dibuat melalui dialog ataupun fakta baru menyebabkan misteri bukan terungkai sebaliknya semakin mendalam. Penonton mungkin tertanya apa sebenarnya berlaku tapi pada masa sama tidaklah sepenuhnya keliru. Di akhir filem ini, penulis merasakan kembali kepada permulaan tetapi pada masa sama sudah cukup untuk menjadi pengakhir satu filem.

Tinggalkan komen?