Star Wars: The Last Jedi

Sebelum penulis meneruskan ulasan, penulis terlebih dahulu ingin memberitahu satu perkara yang agak penting untuk dijadikan sebagai penanda aras kepada ulasan ini, The Force Awakens merupakan filem Star Wars terbaik bagi penulis.  Mungkin kerana penulis adalah generasi yang sudah tahu mengenai Star Wars sebelum menonton mana-mana filemnya, kerana itu Star Wars dari episode 4,5,6 ke 1,2,3 tidak sangat menjadi satu francais yang penulis kisah.  The Force Awakens adalah permulaan yang menjadikan penulis cakna dan ternanti-nanti mengenai Star Wars.

Mengapa penulis memberitahu perkara di atas adalah kerana, ada yang menggemari Star Wars lama yang tidak akan bersetuju dengan pilihan penulis yang mengatakan The Force Awakens adalah filem terbaik Star Wars, dan tidak akan bersetuju juga dengan kenyataan penulis yang seterusnya iaitu The Last Jedi adalah lebih baik dibandingkan dengan The Force Awakens dan menjadikannya filem terbaik Star Wars.

The Last Jedi diarah oleh Rian Johnson. Secara jujur penulis agak risau apabila mengetahui yang J.J Abrams tidak akan mengarah filem sambungan kepada The Force Awakens dan menambahkan lagi kerisauan penulis ialah apabila Rian Johnson tidak mempunyai portfolio yang menguja-kan.  Hanya satu filem arahan beliau yang penulis pernah tonton iaitu Loopers dan penulis tidak menggemari filem itu.  Apabila Lucasfilm mengumumkan yang beliau akan mengarah dan menulis trilogi terbaru Star Wars, penulis hanya mampu berkata “tolonglah jangan gagal”.

Selepas menonton The Last Jedi semua kerisauan itu hilang. Malah penulis boleh katakan yang Rian Johnson layak untuk menulis dan mengarah lebih banyak filem Star Wars.  Kekuatan filem ini adalah kepada pengisian dan penceritaan yang sangat padat.  Kebiasaan filem akan mempunyai permulaan, permasalahan dan pengakhiran ataupun penyelesaian, tetapi The Last Jedi dibantu oleh tapak yang dibina oleh The Force Awakens tidak memerlukan permulaan sebaliknya terus kepada permasalahan. Filem ini mempunyai banyak permasalahan dan juga pengakhiran, penulis boleh katakan ada lebih pada enam permasalahan dan pengakhiran dan semuanya diceritakan dengan baik.

Ada beberapa pengakhiran dalam filem ini yang layak untuk menjadi pengakhiran kepada satu filem, apabila satu permasalahan berakhir akan ada pengakhiran dan selepas itu terus bermula permasalahan baru, filem ini akan terus menerus membuatkan penonton ternanti-nanti pada yang akan berlaku seterusnya.  Ada beberapa penceritaan yang penulis rasa boleh dilakukan dengan lebih baik kerana ada sedikit memberi gambaran yang babak-babak tersebut agak memaksa dan perasaan ataupun emosi yang cuba disampaikan tidak kesampaian.  Nasib baik hanya beberapa sahaja dan tidak langsung mencacatkan filem ini.

Sesuatu yang penulis sangat suka mengenai The Force Awakens adalah pembinaan watak, bagaimana filem itu membuatkan penulis kisah mengenai watak-watak baru dan pada masa sama menaikan watak lama kepada sesuatu yang segar.  The Last Jedi berjaya melakukan perkaran sama, selain dari menambah-baik dan membuatkan penulis lebih mengenali watak lama seperti Rey, Finn, Poe, Kylo/Ben, Luke dan Liea filem ini juga memperkenalkan watak seperti Rose (Kellie Marie Tran) dan DJ (Benicio Del Toro).  Kedua-dua watak baru ini juga dengan dibina dan diperkenalkan dengan baik. Sepanjang menonton filem ini penulis merasakan mereka seperti watak yang sudah lama ada cuma penulis agak kecewa kerana watak DJ tidak diberikan masa yang cukup tetapi penulis merasakan dia akan kembali untuk filem seterusnya.

Lakonan semua watak adalah sangat baik, sesuatu yang dijangaka untuk filem sebesar ini.  Pujian juga harus diberi kepada Rian Johsnon kerana menghasilkan filem yang sangat cantik dan dipenuhi dengan babak-babak yang penulis tidak akan lupakan dan ternanti-nanti untuk merasainya sekali lagi.  The Last Jedi juga mempunyai “Lightsaber Duel” yang sangat-sangat menarik jika dibandingkan dengan filem-filem Star Wars sebelum ini.

Seperti penulis katakan di atas, penulis sudah mengetahui banyak perkara mengenai Star Wars sebelum menonton filemnya sendiri, jadi mungkin kerana itu penulis tidak merasa sangat teruja mengenai “The Force” selain daripada penceritaan banyak memfokuskan kepada adanya Light dan Dark Side.  The Last Jedi berjaya menjadikan Force sebagai sesuatu perkara yang menarik dan menjadi tunjang utama dalam filem ini.  Penulis sudah menonton 7 filem Star Wars dan untuk pertama kali penulis mula kisah mengenai Force dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya,

Melalui pengakhiran filem ini penulis boleh rasakan yang episod seterusnya agak menjadi filem konklusi yang baik, dibantu juga dengan berita yang J.J Abrams akan kembali untuk mengarah.  Penulis berharap filem seterusnya adalah sama baik dengan The Last Jedi jika tidak lebih baik kerana The Last Jedi adalah satu filem Star Wars yang sangat seronok dan menarik untuk ditonton.

Tinggalkan komen?