Murder On The Orient Express (2017)

Diarahkan oleh Kenneth Branagh yang sebelum ini pernah mengarah filem seperti Thor dan Macbeth, dia juga memegang watak utama sebagai Hercule Poirot.  Murder On The Orient Express adalah berdasarkan novel yang mempunyai tajuk yang sama ditulis oleh Agatha Christie.  Penulis tidak pernah menonton mana-mana filem ataupun adaptasi lain novel ini dan penulis juga tidak pernah membaca novelnya, jadi penulis tidak akan membuat sebarang pembandingan antara filem ini dengan adaptasi lain ataupun dengan novel yang menjadi sumber cerita kepada filem ini.  Cerita misteri dan penyiasatan merupakan antara genre kegemaran penulis jadi penulis mempunyai harapan yang tinggi mengenai filem ini kerana di dalam trailer dikatakan filem ini adalah berkenaan “Probably The Greatest Detective in The World”.  Banyak aspek dalam filem ini berjaya menemui jangkaan penulis.

Filem ini adalah berkenaan Hercule Poirot yang merupakan seorang detektif terkenal. Sifatnya yang terlalu mementingkan kesempurnaan menjadikan dia seorang detektif yang hebat dan mudah untuk dirinya melihat penipuan di sebalik kebenaran.  Baginya pula, itu juga merupakan sumpahan untuknya kerana dia akan sentiasa melihat ketidakkeseimbangan dengan jelas yang membuatkannya berasa jengkel dan tidak selesa.  Pada awalnya dia ingin bercuti di Istanbul tetapi kerana terdapat kes kecemasan di London, dia terpaksa menaiki The Orient Express selepas pengarah The Orient Express iaitu Bouc (Tom Bateman) menawarkan bilik untuknya di atas kereta api.  Dalam perjalanan, berlakunya tanah runtuh dan kereta api tersebut terpaksa berhenti sebelum kesan tanah runtuh dibersihkan dan perjalanan boleh diteruskan.  Pada pagi itu juga didapati Edward Ratchett (Johnny Depp) iaitu salah seorang penumpang kereta api tersebut telah mati dibunuh.

Walaupun pada awalnya Hercule Poirot tidak ingin menyiasat kes ini, tetapi selepas dipujuk Bouc dia menerima kes pembunuhan ini.  Oleh kerana tidak semua penumpang dapat memasuki koc Kelas Pertama dan Kedua, hanya 12 orang yang menjadi suspek pembunuhan tersebut iaitu Mary Debenham (Daisy Ridley), Dr Arbuthnot (Leslie Odom Jr), Pilar Estravados (Penelope Cruz), Hector Macqueen (Josh Gad), Edward Henry Masterman (Derek Jacobi), Elena Andrenyi (Lucy Boynton), Caroline Hubbard (Michelle Pfeiffer), Princess Dragomiroff (Judi Dench), Hildegarde Schmidt (Olivia Colman), Gerhard Hardman (Willem Dafoe), Biniamino Marquez (Manuel Garcia-Rulfo) dan Pierre Michel (Marwan Kenzari).

Dari awal lagi apabila beberapa bukti ditemui, penulis sudah dapat meneka siapa pembunuh yang sebenar dan penulis tidak rasa filem ini cuba untuk menyembunyikanya kerana filem ini lebih kepada ‘kenapa’ pembunuhan dilakukan berbanding ‘siapa’ yang melakukannya.  Filem ini juga tidak menunggu sehingga penamat untuk memberikan sebab kenapa ia dilakukan.  Kalau tidak salah penulis, pada pertengahan filem sudah jelas siapa dan kenapa pembunuhan itu dilakukan tetapi ia tidak langsung mengurangkan impak filem ini kerana walaupun ianya bukan lagi berkenaan misteri siapakah pembunuh sebenar, tetapi penceritaan kini lebih berkisar kepada perasaan semua watak.  Penulis sedikit kecewa kerana filem ini tidaklah bersifatkan misteri tetapi sebenarnya lebih bersifat sebagai sebuah drama. Filem ini juga kurang memberikan penjelasan bagaimana Hercule Poirot mengetahu sesuatu maklumat ataupun bagaimana dia dapat menjangka sesuatu. Akan tetapi kerana dibarisi oleh pelakon yang hebat dan penceritaan yang baik, ia tetap menjadi sebuah filem yang patut ditonton.

Satu perkara yang menyebabkan penulis kagum dengan filem ini adalah kebanyakan penceritaan dan moment yang penting disampaikan melalui dialog.  Walaupun ada beberapa flashback dan aksi tetapi dialog memainkan peranan yang paling penting dan menonjol.  Filem yang menjadikan dialog sebagai penceritaan yang utama memerlukan emosi dan body language pelakon untuk memberi impak kepada penceritaan dan mereka berjaya melakukannya dengan baik.  Selain dari kisah pembunuhan Edward Ratchett ada satu kisah selingan dan kisah ini diceritakan kebanyakannya melalui dialog. Namun begitu kesan yang besar dari segi emosi berjaya disampaikan walaupun penonton sekadar mendengar mengenainya.  Ia adalah bukti kepada lakonan dan penulisan yang baik.  Ini juga mungkin akan menjadi sesuatu yang kurang baik bagi penonton yang lebih menggemari aksi berbanding percakapan.

Dari segi sinematografi walaupun ada beberapa pilihan bijak yang dilakukan oleh pengarah terutamanya pada babak-babak di awal filem bilamana kamera bergerak terlalu kerap dan terlalu laju menyebabkan beberapa babak agak tidak selesa untuk ditonton. Tetapi keseluruhannya ia adalah filem yang cantik dan pengarah pandai menunjukkan impak penceritaan melalui permainan dengan kamera.  Kebanyakan babak filem ini berlaku hanya di dalam kereta api jadi tidak banyak perkara yang boleh ditunjukkan, jadi filem ini lebih memfokuskan kepada watak iaitu emosi dan body language para pelakon dan ini juga dilakukan yang baik kerana penonton akan mengetahui apa perasaan seseorang watak walaupun tiada dialog ataupun emosi yang jelas.

Penulis merasakan filem ini mempunyai pembukaan yang sangat tidak baik, pengenalan kepada watak Hercule Poirot dilakukan dengan agak gopoh dan penulis tertanya-tanya jika watak ini menjadi watak utama filem ini, adakah ianya akan menjadi bosan.  Akan tetapi apabila pembunuhan berlaku semuanya beruba. Penceritaan bagaikan bertukar dan perwatakan Hercule Poirot juga seakan-akan menjadi seseorang yang lain.  Pengakhiran filem ini pula berlainan kisahnya kerana bagi penulis filem ini mempunyai pengakhiran yang merupakan antara terbaik dalam filem jika tidak terbaik.  Kesan emosi dan morality yang cuba dimainkan pada akhir filem ini agak sampai dan akan ada satu babak di mana Hercule Poirot memberikan pilihan kepada pembunuh dan babak ini sangat menggambarkan kercelaruan emosi watak.  Pengakhiran filem ini sangat-sangat mengangkat filem ini ke atas walaupun mempunyai beberapa kekurangan di tempat lain.

Tinggalkan komen?