Ulasan Monster Hunt 2

Sempena perayaan Tahun Baru Cina yang baru sahaja berlalu, penulis mengambil peluang untuk menonton filem berbahasa Mandarin dari China, Monster Hunt 2. Filem ini merupakan sequel kepada Monster Hunt yang ditayangkan pada tahun 2015. Pada waktu tayangannya, Monster Hunt merupakan highest-grossing film di China. Jadi, tidak hairanlah sequelnya amat dinanti-nanti kan. Namun begitu, ulasan ini adalah dari kaca mata seorang yang belum pernah menonton Monster Hunt. Jadi ulasan ini tidak akan membandingkan kualiti antara kedua-dua filem tersebut.

Bagi yang belum biasa dengan Monster Hunt, ia merupakan sebuah filem aksi (dan mungkin juga aksi komedi) yang menggabungkan pelakon dan dunia sebenar dengan raksasa-raksasa 3D. Monster Hunt 2 masih mengekalkan pengarah yang sama iaitu Raman Hui.

Monster Hunt 2 secara ringkasnya mengisahkan tentang seekor bayi raksasa bernama Wuba. Ianya sebenarnya dilahirkan oleh satu pasangan manusia namun dibela oleh raksasa-raksasa dewasa di dalam dunia raksasa kerana konflik antara manusia dan raksasa. Namun begitu, Wuba telah terpisah daripada kumpulan raksasa tersebut dan telah kembali ke dunia manusia. Dia akhirnya bertemu dengan seekor raksasa yang berkawan dengan seorang manusia. Ibu bapa kandung Wuba pula merindukan Wuba dan cuba untuk menjejaki Wuba. Namun pada masa yang sama, mereka masih meragui apakah keputusan mereka untuk mencari Wuba itu tepat disebabkan konflik manusia-raksasa yang masih berlanjutan.

Plot Monster Hunt 2 secara keseluruhannya bukanlah kekuatan utama filem ini. Walaupun jalan ceritanya ada, terdapat sub-plot yang boleh dikatakan penting yang tidak digarap dengan baik. Contohnya, Wuba diramalkan sebagai raksasa yang akan berjaya mengharmonikan dunia manusia dan raksasa, namun sub-plot ini tergantung sehingga ke akhir cerita. Namun begitu, terdapat juga elemen di luar jangkaan yang berjaya dilaksanakan. Sebagai contoh, apabila karakter sebenar Ketua Biro Penangkap Raksasa ditonjolkan. Itupun, penonton sebenarnya masih boleh mempersoalkan bagaimana beliau boleh dijadikan ketua pada awalnya. Boleh jadi persoalan persoalan-persoalan ini akan dirungkaikan pada sambungan filem ini kelak memandangkan penerbitnya sudah menggambarkan bahawa terdapat 4 filem dalam siri Monster Hunt.

Di sebalik kekurangan dari segi plot, pujian harus diberikan kepada kesan visual filem ini yang boleh dikatakan setaraf dengan filem-filem terbitan Hollywood. Raman Hui, selain kerjayanya sebagai pengarah, merupakan seorang computer animator. Beliau sudah terlibat dalam bidang animasi semenjak tahun 1991 dan pernah terlibat di dalam filem-filem gergasi Hollywood seperti Shrek, Madagascar, filem pendek Kung Fu Panda: Secrets of the Furious Five dan Puss in Boots. Raksasa-raksasa di dalam Monster Hunt 2 seolah-olah memang wujud di dalam dunia sebenar dan bukannya ditambah di belakang tabir. Keberkesanan ini ditambah pula dengan barisan pelakon yang berjaya menghidupkan setiap babak yang memerlukan komunikasi dengan raksasa (sesuatu yang tidak wujud sewaktu penggambaran) dengan begitu baik sekali.

Keseluruhannya, filem Monster Hunt ialah sebuah filem yang baik dan menggambarkan bahawa studio China semakin mampu untuk menghasilkan filem dengan kesan visual yang menghampiri taraf studio di Hollywood. Jalan cerita yang simple dan dipenuhi dengan adegan komedi menjadikannya sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Wuba yang comel pasti membuatkan mereka teruja. Di China, belum pun genap 2 minggu filem ini datayangkan, ia sekarang menduduki tangga ke-9 carta highest-grossing film. 

Sekarang, penulis akan mencari Monster Hunt (2015) untuk ditonton.

Tinggalkan komen?