Insidious: The Last Key

Penulis bukanlah seorang peminat filem horror. Biasanya penulis hanya akan menonton filem bergenre sebegini apabila dipelawa oleh rakan-rakan penulis. (Disclaimer: Bukan bermaksud penulis seorang penakut hantu, cuma setiap orang memiliki genre filem kegemaran masing-masing.)

Penulis diajak untuk menonton Insidious: The Last Key semalam dan berikut ulasan filem tersebut.

The Last Key ialah siri keempat yang diterbitkan dalam franchise Insidious dan yang kedua dari susunan kronologi masa. Filem ini diarahkan oleh Adam Robitel, kali pertama mengarah untuk siri Insidious. Pengarah untuk Insidious 1 dan 2 ialah James Wan. Manakala Insidious 3 diarahkan oleh Leigh Whannell. Untuk The Last Key, James Wan bertindak sebagai penerbit manakala Leigh Whannell pula sebagai penulis. Walaupun The Last Key merupakan salah satu filem daripada sebuah kronologi, penonton masih boleh memahami jalan cerita filem ini walaupun belum pernah menonton filem-filem yang lain. Penulis pernah menonton kesemua filem dalam siri ini.

Di awal penceritaan, The Last Key memaparkan kisah Elise di zaman kanak-kanaknya yang membesar bersama ibu bapanya dan seorang adik lelaki. Sejak kecil, dia menunujukkan kebolehan untuk melihat dan berkomunikasi dengan makhluk di alam ghaib. Ibunya menganggap bahawa itu adalah sesuatu yang istimewa manakala ayahnya tidak menyukai hal tersebut. Ayahnya akan memukulnya sekiranya dia memberitahu tentang hantu yang dilihatnya atau suara ghaib yang didengarnya. Suatu hari, Elise telah berkomunikasi dengan mahkluk di alam ghaib dan sesuatu yang buruk menimpa ibunya.

Setelah itu, filem ini terus memaparkan kehidupan Elise di masa sekarang yang sudah berusia 60-an dan sering membantu orang-orang yang menghadapi masalah berkaitan alam ghaib. Konflik bermula apabila seorang lelaki menelefonnya dan memerlukan bantuan kerana sering diganggu di rumahnya. Rumah lelaki tersebut ialah rumah di mana Elise tinggal bersama keluarganya dahulu.

Bagi penulis, The Last Key tidak mampu menandingi kehebatan filem pertama Insidious. Filem ini kekurangan elemen-elemen penting yang menjadikannya sebuah filem hantu yang baik. Penggemar filem dengan genre ini menonton filem dengan mengharapkan mereka boleh ditakutkan. Namun filem ini bukan sahaja kurang menakutkan, malah elemen-elemen yang sinonim dengan Insidious juga seolah-olah tiada. Bagi yang biasa dengan filem Insidious, ianya terkenal dengan bunyi kuat yang menakutkan yang muncul secara tiba-tiba.

Secara keseluruhan, penulis berpendapat bahawa The Last Key bukanlah sebuah filem horror yang baik. Jalan ceritanya juga seakan-akan sama dengan filem dengan genre sama yang biasa kita tonton; roh yang mati dibunuh secara kejam memerlukan bantuan manusia untuk merungkai misteri kematian mereka supaya roh mereka boleh pergi ke alam ghaib dengan tenang. Terlalu cliché. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa filem tidak langsung menakutkan mahupun memberi kesan yang membuatkan penonton tidak senang duduk. Bagi peminat filem genre ini yang mencari-cari filem yang boleh memberi adrenaline rush yang sebenar, penulis rasa mereka pasti akan kecewa apabila menonton The Last Key.

 

Tinggalkan komen?