Etika Menonton Filem di Panggung Wayang

Tidak kira dimana kita berada, jika tempat itu adalah tempat untuk khalayak ramai dan bukan bilik kita sendiri sudah semestinya kita perlu mengikut etika-etika yang seharusnya menjadi common sense.  Sama juga seperti di dalam panggung wayang.  Selain menjadi tempat menonton filem terbaru, panggung wayang adalah tempat seorang pekerja yang bekerja selama 8 jam hari ini mencari perlepasan daripada kesarabutan.  Panggung wayang juga menjadi tempat mengisi masa lapang yang sekadar boleh didapati pada hujung minggu.  Jadi jika masa ini diganggu dengan sifat manusia yang tidak boleh berfikir mengenai orang lain, hal tersebeut amatlah menjengkelkan.

Penulis menonton wayang boleh dikatakan sekurang-kurangnya sekali setiap minggu, kerana panggung wayang adalah perlepasan untuk penulis dari memikirkan masalah lain.  Apabila ia terganggu dengan sikap sesetengah penonton yang bagaikan hidup di dunia sendiri, ia bukan sahaja akan menganggu fokus penulis untuk menonton filem ia juga menyebabkan aktiviti yang sepatutnya menghilangkan strees menjadi punca bertambahnya stress.

Demi menjadikan panggung wayang mesra untuk semua orang, penulis beranggapan perkara di bawah harus dielakkan sekeras-kerasnya.

Menendang Kerusi

Perkara ini sering berlaku kepada penulis tetapi sampai sekarang penulis bingung bagaimana ia terjadi.  Bagaimana kaki yang sudah diberi ruang masih lagi menendang-nendang kerusi dihadapan.  Ingin membuat alasan kaki panjang, penulis kira orang Asia bukanlah tinggi mana pun.  Ada masa penulis akan menegur dan selepas itu ia tidak lagi berlaku maknanya dari awal perkara ini boleh sahaja dielekan.  Nasihat penulis jika merasakan kaki panjang dan tidak selesa, silalah beli tempat duduk paling depan, jadi tidaklah anda menyusahkan orang lain.

Menggunakan Telefon Bimbit

Janganlah merasakan diri tersangat penting, jika dibiarkan apa-apa mesej yang diterima tidaklah kiamat dunia melainkan sudah ditakdirkan untuk kiamat yang semestinya tiada kaitan dengan apa-apa yang dimesejkan.  Jika tidak berminat dengan filem yang ditayangkan kenapalah menghabiskan masa dan wang untuk membeli tiket dan kemudiannya bermain game sepanjang tayangan?  Ada sebab wayang digelapkan kerana lampu lain selain dari wayang sendiri akan menganggu.  Jangalah merasakan diri itu Perdana Menteri sehinggakan tidak mampu meninggalkan sementara telefon bimbit. Anda bukanlah siapa-siapa.

Bercakap Dengan Suara Kuat

Filem bukanlah bola sepak untuk diulas setiap babak.  Penulis faham ada masa ingin berbual dengan rakan-rakan, berjenaka, ada masa penulis juga membuatnya tetapi tidak perlulah sampai jiran kampung sebelah pun mendengarnya.  Jika ingin bercakap dengan kawan, bercakaplah sahaja dengan kawan tanpa melibatkan orang lain.  Jika ada sesuatu yang sangat penting untuk dibualkan silalah keluar, bukannya susah – berdiri, berjalan dan keluar.

Pada pandangan penulis, tiga perkara di atas seharusnya dimasukkan bersama-sama peringatan untuk meletakkan telefon bimbit dalam mod senyap sebelum filem bermula.  Tiga perkara diatas bukanlah sukar untuk diikut, bukanlah sampai menjadi ketagih apabila tidak dilakukanya.  Dengan tidak melakukan tiga perkara diatas, bukan sahaja kita dapat fokus kepada filem, ia juga tidak akan menganggu orang lain.  Perkara diatas adalah berdasarkan pengalaman penulis, ada sahaja yang berlaku kepada penulis, bagaimana dengan anda? Apakah pengalaman terburuk anda sepanjang menonton wayang?

Comments

Tinggalkan komen?