Downsizing

Diarah oleh Alexander Payne yang sebelum ini mengarah filem seperti Nebraska dan The Descendant, Downsizing adalah filem drama, komedi dan juga sains fiksyen. Filem ini bermula dengan saintis membuat penemuan cara untuk mengecilkan manusia tanpa sebarang kesan sampingan kecuali mereka tidak boleh kembali kepada saiz yang asal yang dipanggil downsizing.  Selepas beberapa tahun penemuan ini, komuniti orang kecil mula dibina. Sesiapa yang memilih untuk melakukan proses downsizing ini mereka akan berpindah ke komuniti orang kecil dan meneruskan hidup mereka seperti biasa di sana.  Kelebihan komuniti ini adalah kesemua barangan menjadi murah kerana saiz yang kecil.

Paul Safranek lakonan Matt Damon dan isterinya Audrey Safranek lakonan Kristen Wigg mengalami “mid-life crisis” terutamanya Pau. Dia merasakan hidupnya tiada tujuan dan dari segi kewangan mereka juga tidak memberangsangkan. Mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk melalui proses downsizing dan berpindah ke komuniti orang kecil akan tetapi kerana sesuatu berlaku hanya Paul keseorangan yang tinggal di komuniti orang kecil. Penceritaan seterusnya banyak berkisarkan mengenai Paul yang cuba mencari makna untuk hidupnya selepas berpisah dengan isterinya. Downsizing mempunyai idea ataupun konsep yang baik tetapi sangat mendatar dalam penyampaian. Bagi penulis Downsizing tidak sangat keluar dari pembinaan plot, beberapa kemuncak tidak dirasai menjadikan sukar untuk menjadi seronok dengan plot disampaikan. Masalah utama filem ini adalah penulis ataupun pengarah cuba menceritakan terlalu banyak cerita tetapi tidak disambungkan dengan baik.

Terlalu banyak penceritaan pendek, tetapi tidak disambung ataupun dilakukan dengan tidak baik menjadikan filem ini terputus-putus. Akhirnya anda tidak kisah sangat apa yang berlaku. Downsizing juga cuba menjadi drama, komedi dan juga fiksyen sains pada masa sama tetapi gagal mencapai tahap yang memuaskan untuk mana-mana genre. Penulis merasakan jika filem ini fokus kepada satu atau dua penceritaan dan genre sudah semestinya penceritaan lebih kemas dan mudah untuk diikuti. Filem ini berdurasi 2 jam 15 minit dimana penulis merasakan 1 jam terlalu panjang terutama dengan kualiti cerita yang disampaikan.

Tiada kritikan untuk lakonan, watak-watak seperti Ngoc Lan Tran lakonan Hong Chau dan Dusan lakonan Christoph Waltz menyerikan lagi penceritaan tetapi kerana penceritaan dan dialog yang mendatar mereka juga tidak dapat mengeluarkan filem ini dari kebosanan. Downsizing dari segi idea dan konsep penceritaan berpotensi untuk diisi dengan banyak penceritaan yang baik akan tetapi filem ini sekadar menjadi filem yang mendatar dan kosong agak membazir jika dilihat kepada senarai pelakon.

Tinggalkan komen?