Braven

Braven diarahkan oleh Lin Oeding yang merupakan pengarah yang agak baru terutama dalam dunia perfileman. Filem ini juga ditulis oleh Michael Nolin dan Thomas Pa’a Sibbett, melainkan maklumat yang penulis dapat adalah salah, mereka juga agak baru dalam dunia penulisan. Mungkin kerana itu berdasarkan pemerhatian penulis filem ini juga menunjukkan kekurangan pengalaman dalam penceritaan. Filem ini mengisahkan mengenai Joe Braven (Jason Momoa) seorang pembalak. Ayahnya, Linden Braven (Stephen Lang) mempunyai penyakit kalau tak salah penulis Alzheimer, dia sering terlupa sesuatu tetapi secara acute, berlaku secara tiba-tiba. Joe juga mempunyai isteri Stephanie (Jill Wagner) dan seorang anak perempuan Charlotte (Sasha Rossof). Disebabkan beberapa masalah dengan ayahnya, Joe mengajak ayahnya untuk pergi ke kabin milik mereka. Tanpa pengetahuan mereka seseorang telah menjadikan kabin mereka untuk menyimpan dadah. Apabila penjahat menyedari bahawa Joe, Linden dan Charlotte mereka memaksa Joe untuk menyerahkan kesemua dadah yang berada di dalam kabin. Selepas itu bermulalah aksi pertempuran di antara Joe, Linden dan penjahat-penjahat yang datang.

Walaupun filem ini cuba menjadi sesuatu yang lebih tetapi pada asasnya ini adalah filem aksi. Produksi cuba untuk menambah unsur kekeluargaan melalui hubungan Joe dan ayahnya dan juga Joe dan isteri dan anaknya tetapi apa yang dipaparkan adalah agak lemah, apabila aksi pertempuran berlaku hubungan kekeluargaan ini terus dilupai dan mula menjadi sekadar hiasan di belakang segala tembak menembak. Pembinaan cerita juga agak lemah, pertama sebab Joe berhajat untuk membawa ayahnya ke kabin adalah agak lemah. Ada banyak lagi cara yang boleh dilakukan, dan penceritaan tidak dengan meyakinkan menerangkan mengapa mereka perlu ke kabin sedangkan Joe langsung tidak berniat untuk ke kabin. Kedua, tindakan penjenayah mengepung rumah untuk mendapatkan balik dadah adalah agak pelik, dan tidak langsung menunjukkan kecerdikan penjahat. Mereka bertindak terlalu terburu-buru dan kesemuanya berlaku sekadar untuk menggerakkan penceritaan tetapi tiada pengisian.

Aksi dalam filem ini juga agak lemah, walaupun ada beberapa babak yang tidak mengecewakan tetapi kebanyakan hanyalah kebiasaan di dalam filem-filem aksi. Satu perkara yang sangat mengganggu penulis, produksi sering memotong aksi, contohnya melompat ke bawah, filem ini tidak menunjukkan bagaimana mereka jatuh ke bawah sebaliknya terus di bawah, tidak mempunyai apa-apa di tengah-tengah. Berlaku lebih daripada sekali untuk babak-bakak yang berbeza. Pada permulaan filem, sering ada babak yang menunjukkan persekitaran, walaupun cantik tetapi agak janggal kerana tidak langsung dikaitkan dengan penceritaan. Bagaikan babak-babak ini hanya sekadar berlaku untuk memanjangkan filem. Dengan segala penceritaan yang berlaku penulis tidak dapat merasakan mana-mana plot dilakukan dengan baik, penulis sekadar menunggu untuk filem habis dan tidak kisah apa yang sedang berlaku. Apabila berlaku babak yang sepatutnya beremosi, filem ini juga tidak melakukannya dengan baik.

Dari segi lakonan untuk Joe, Linden mereka membawa watak mereka dengan baik tetapi kerana penulisan yang lemah penulis merasakan agak membazir terutama untuk watak Linden. Selepas menonton Don’t Breathe, perwatakan yang dibawa Linden adalah agak-agak mengecewakan tetapi bukan kerana beliau sebaliknya kerana penulisan yang lemah. Stephanie dan Charlotte walaupun mempunyai babak yang sedikit tetapi tetap membawanya dengan baik. Manakala untuk penjahat-penjahat, penulis boleh katakan yang kesemua agak lemah dan tidak membawa sebarang perasaan ke dalam penceritaan. Ketua mereka yang dilakonkan oleh Garret Dillahunt (penulis tidak pasti sama ada nama wataknya ada diberitahu) sepatutnya menjadi satu watak yang tidak berperikemanusiaan. Walaupun filem ini cuba menunjukkan perkara ini tetapi mereka lakukannya dengan agak pelik dan lemah. Ini menyebabkan watak yang sepatutnya menjadi antagonis yang utama gagal. Menjadikan keseluruhan perwatakan antagonis tidak sangat membantu dalam penceritaan selain daripada menjadi pengacau. Satu perkara yang boleh dipuji mengenai filem ini adalah muzik latar. Babak yang penulis katakan di atas, babak yang menunjukkan persekitaran turut disertakan dengan muzik yang indah, muzik latar semasa aksi juga agak membantu babak-babak tersebut tetapi tidak banyak kerana babak-babak itu sendiri agak lemah.

Penulis tidak menonton trailer filem ini sebelum pergi menontonnya, penulis juga tidak membaca sebarang sinopsis tetapi penulis sangat ternanti-nanti untuk menontonnya kerana Jason Momoa dan Stephen Lang akan tetapi perwatakan dan penceritaan bagaikan memalukan untuk kedua-dua pelakon ini terlibat. Oleh kerana Jason Momoa sendiri yang menjadi penerbit filem ini, jadi mungkin juga salah beliau sendiri.

Tinggalkan komen?