Black Panther

Black Panther diarahkan oleh Ryan Coogler yang sebelum ini mengarah filem seperti Creed dan Fruitvale Station. Black Panther adalah filem mengenai Black Panther atapun T’Challa (Chadwick Boseman) apabila kematian ayahnya iaitu raja kepada Wakanda semasa Captain America: The Civil War menjadikan dia pewaris kepada takhta. Wakanda merupakan satu negara di Afrika yang menjadi kaya kerana mempunyai sumber Vibranium. Walaupun merupakan negara paling maju di dunia kerana mereka menyorok negara mereka, dunia hanya menganggap Wakanda adalah negara dunia ketiga yang miskin. Dari awal pemerintahan lagi T’Challa mendapat tentangan Erik Killmonger (Michael B. Jordan) selaku antagonis utama dalam filem ini. Penceritaan memfokuskan kepada pertempuran dan hubungan antara T’Challa dan Killmonger.

Filem ini bernasib baik kerana merupakan filem superhero pertama yang ditayangkan pada tahun ini. Filem terakhir yang penulis tengok adalah Justice League pada november lepas..  Sebagai filem pertama, Black Panther tidak terkesan sangat kepada lambakan filem-filem superhero. Seperti penulis nyatakan sebelum ini untuk filem superhero, penulis mempunyai kehendak sendiri kerana sudah disajikan dengan pelbagai filem-filem superhero, kebanyakannya adalah agak sama. Jika tahun lepas, Logan dan Thor: Ragnarok membawa kelainan, adalah Black Panther turut membawa kelainan? Bagi penulis untuk sebahagian yang kecil – ya, akan tetapi secara keseluruhan walaupun mempunyai dunia dan latar belakang yang berlainan Black Panther tetap menjadi hanya satu lagi filem superhero.

Penceritaan yang dibawa diceritakan dengan baik, tidak banyak plot-plot atau babak kosong akan tetapi mudah dijangka dan tidak membawa apa-apa isu yang besar walaupun pada asasnya mereka mempunyai material yang baik tetapi kurang dikupas, sebaliknya fokus utama penceritaan adalah sesuatu yang biasa. Harap tidak menjadi satu spoiler akan tetapi penceritaan yang dibawa tidak jauh beza dengan Thor: Ragnarok. Dua isu yang penulis merasakan sepatutnya lebih ditekankan adalah hubungan antara Wakanda dengan dunia luar dan juga isu-isu semasa untuk orang berkulit hitam. Walaupun filem ini ada sedikit menyentuh kedua isu ini akan tetapi terlalu sedikit dan tidak sangat memberi kesan. Mungkin jika ada sambungan kepada filem ini, isu-isu ini lebih diketengahkan.

Perwatakan adalah pelbagai dan dilakonkan dengan baik akan tetapi berbanding watak Erik Killmonger, T’Challa tidak cukup diceritakan perwatakannya walaupun mempunyai masa di skrin yang lama sebaliknya watak Black Panther menjadi sangat biasa dan tidak menyerlah jika dibandingkan dengan watak-watak ‘Avengers’ yang lain. Manakala bagi watak Killmonger pada awalnya perwatakannya agak baik dan ada kelainan akan tetapi pada pertengahan penceritaan wataknya juga menjadi tipikal untuk watak antagonis. Konflik yang tercetus antara watak tidak terlalu kuat untuk penonton mengambil kisah lebih daripada apa yang perlu untuk sekadar mengikut penceritaan. Sokongan yang diberikan oleh watak seperti Nakia (Lupita Nyong’o), Okoye (Danai Gurira) dan Shuri (Letita Wright) juga sangat baik. Setiap perwatakan mereka mempunyai keunikan yang sendiri, begitu juga Everett K. Ross (Martin Freeman) walaupun wataknya agak janggal tetapi turut membawa kelainan untuk keseluruhan penceritaan.

Rekaan dunia, terutama dunia Wakanda yang sepatutnya menjadi negara termaju di dunia adalah baik akan tetapi untuk filem ini hanya beberapa tempat sahaja yang digunakan dan rekaan untuk setiap tempat tidaklah mengujakan seperti mana pemandangan negara Wakanda dari jauh akan tetapi rekaan yang mengambil inspirasi dari dunia Afrika tetap membawa kelainan tambah lagi apabila bercakap mengenai rekaan kostum yang bagi penulis agak menarik kerana tidak terlalu asing dan jelas nampak sumbernya dari mana. Dari segi latar bunyi juga dilakukan dengan baik, agak sesuai dengan dunia dan budaya orang Afrika, walaupun tetap mengekalkan tema heroic.

Penulis tiada masalah dengan lakonan kerana kesemua watak membawanya dengan baik, sesuatu yang sudah dijangka untuk filem sebesar ini. Manakala untuk sinematografi, secara keseluruhan filem ini adalah cantik dan nampak cuba menunjukkan kemegahan dunia Wakanda tetapi kerana ini merupakan filem superhero sudah semestinya aksi pertempuran adalah antara babak utama dalam filem ini. Penulis merasakan aksi pertempuran boleh dilakukan dengan lebih baik, terutama pertempuran jarak dekat. Penulis sering terganggu dengan pergerakan kamera menjadikan penulis tidak nampak koreografer untuk setiap pertempuran, akhirnya hanya tahu siapa menang dan siapa kalah.

Black Panther adalah filem yang tidak bosan untuk ditonton tetapi pada masa yang sama tidak membawa sebarang kelainan kepada dunia Marvel dan juga keseluruhan superhero. Mempunyai keunikan melibatkan negara Afrika dan juga superhero berkulit hitam, filem ini tidak sepenuhnya menggunakan peluang yang ada untuk menceritakan sesuatu yang mendalam walaupun filem ini menuju ke situ. Kemungkinan besar, sekuel kepada Black Panther nanti akan lebih mendalam penceritaanya, untuk filem ini ianya hanyalah satu lagi filem superhero.

Tinggalkan komen?