Along With The Gods: The Two Worlds

Along With The Gods: The Two World merupakan filem pertama dari dua filem untuk siri ini , filem kedua akan dikeluarkan pada musim panas tahun ini dan filem ini merupakan adaptasi dari webcomic oleh Joo Ho-Min. Penulis tidak membaca webcomic yang menjadi sumber untuk filem ini jadi penulis tidak akan membuat sebarang perbandingan. Untuk mengulas filem ini, penulis akan bahagikan kepada dua bahagian ataupun kepada dua dunia. Dunia pertama adalah alam barzakh dan dunia kedua adalah alam kehidupan kerana penulis mempunyai penilaian yang berbeza untuk dua dunia ini.

Alam Barzakh

Apabila Ja-Hong (Cha Tae-hyun), seorang bomba, meninggal dunia selepas menyelematkan seorang kanak-kanak dari bangunan yang terbakar dia dibawa ke alam barzakh. Di alam ni dia mesti melalui 7 neraka untuk dibicarakan. Jika berjaya melepasi ketujuh-tujuh neraka ini, dia akan dilahirkan semula ke alam kehidupan seperti kepercayaan Buddha. Jika gagal, dia akan dimasukkan ke dalam neraka berkenaan. Untuk membantunya melalui 7 perbicaraan ini dia tiga yang boleh dikatakan sebagai peguam iaitu Gang-lim (Ha Jung-woo), Hewonmak (Ju Ji-hoon) and Deok-choon (Kim Hyang-gi) ada bersamanya. Setiap pembicaraan ini, kesalahan Ja-Hong akan diperlihatkan dan Ja-Hong yang dibantu oleh peguamnya mesti memastikan dia tidak disabitkan bersalah. Untuk tidak spoil penceritaan, disebabkan perkara yang terjadi di alam kehdiupan ke atas saudara terdekat Ja-Hong, alam barzakh menjadi huru-hara dan ada pelbagai makhluk yang cuba membunuh mereka berempat.

Dari segi konsep penceritaan, bagi penulis agak menarik. Akan tetapi apa yang disampaikan agak tidak memuaskan, perwatakan ketiga-tiga peguam pada awalnya agak janggal walaupun kemudiannya penerimaan penulis terhadap watak ini mula bertambah baik. Filem ini cuba menjadi komedi melalui perwatakan peguam ini tetapi lawak yang ditampilkan agak tidak konsisten. Ada yang lawak dan ada yang agak basi. Perbicaraan-perbicaraan yang dilalui Ja-Hong secara kesuluruhannya agak menarik tetapi itupun kerana melibatkan dunia alam kehidupan yang penulis akan ceritakan kemudian. Rekaan dunia alam barzakh kebanyakan menggunakan CGI dan bagi penulis kualitinya tidak baik. Dunia ini nampak agak hambar, walaupun sepatutnya ada 7 neraka tetapi tidak nampak banyak variasi.

Filem ini juga mempunyai banyak aksi, ataupun lawan. Mungkin kerana adapatasi dari webcomic cara lawan sangat menyerupai anime, walaupun nampak hebat dan cool penulis tidak boleh membuang perasaan yang segala aksi ini sangat tidak bersesuaian dengan filem ini secara keseluruhan. Penulis agak kecewa dengan penyampaian dunia ini, dari segi cerita dan juga rekaan dunia. Mungkin kerana penulis sudah menonton banyak anime dan bermain banyak permainan video, dunia yang direka dalam filem ini agak biasa dan hambar. Walaupun begitu, penulis tetapi mengesyorkan untuk semua menonton filem ini kerana alam kehidupan.

Alam Kehidupan

Ja-Hong meninggalkan ibunya (Ye Soo-Jung) dan seorang adik lelaki Su-Hong (Kim Dong-wook). Disebabkan kisah silam, Ja-Hong tidak hidup bersama dengan ibunya dan juga Su-Hong selama 15 tahun sehinggalah hari dia mati. Akan tetapi dari jauh dia memberi segala keperluan yang diperlukan oleh ibunya dan juga untuk adiknya belajar. Alam kehidupan banyak menceritakan mengenai penyesalan Ja-Hong tidak berjumpa dengan ibu dan adiknya setelah sekian lama, dan juga kisah silam yang agak kelam. Bagi penulis kekuatan filem ini adalah kisah di alam kehidupan.

Jika alam barzakh serba tidak kena, alam kehidupan segalanya sempurna. Drama yang diceritakan sangat menyayat hati, setiap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Ja-Hong diceritakan dengan baik dan penonton akan mula sedar bertapa berat bebanan yang dipikul oleh Ja-Hong dan juga penyesalan yang terpedam di dalam hati ibunya. Walaupun drama yang diceritakan nampak macam sedih sekadar untuk sedih tetapi penulis tidak merasa yang penceritaan seperti memaksa dan penulis mengaku, penulis memang menangis.

Walaupun penceritaan dan rekaan dunia untuk alam barzakh agak mengecewakan tetapi penceritaan yang baik di alam kehidupan berjaya mengerakkan filem ini dan menjadikan keseluruhan filem ini agak baik. Lakonan dari semua watak juga hebat walaupun mempunyai dialog yang agak kurang berkesan terutama untuk penceritaan alam barzakh. Seperti penulis katakan sebelum ini, penulis sangat-sangat mengesyorkan untuk anda menontonnnya.

Tinggalkan komen?