12 Strong

12 Strong menggabungkan 2 genre kesukaan penulis; perang dan kisah benar. Berikut ulasan kepada filem 12 Strong, filem bertemakan perang pertama yang penulis tonton pada tahun ini. Filem ini diarah oleh Nicolai Fuglsig dan 12 Strong ialah filem Hollywood sulung arahannya. 12 Strong adalah adaptasi kisah benar yang telahpun diterjemahkan ke dalam sebuah buku bertajuk Horse Soldiers. Ianya berkisarkan sebuah pasukan tentera yang terdiri daripada 12 orang askar yang ditugaskan dengan satu misi khas yang digambarkan sebagai tindak balas pertama oleh tentera Amerika Syarikat terhadap tragedi 11 September 2001.

Secara umumnya, pasukan tersebut yang dikenali sebagai ODA 595 ditugaskan untuk bergabung tenaga dan membantu salah satu pemimpin kepada puak Northern Alliance iaitu Jeneral Abdul Rashid Dostum untuk memerangi Taliban yang mendalangai serangan ke atas World Trade Centre dan pada masa yang sama menghalang Taliban daripada menakluk Afghanistan untuk dijadikan sebuah negara Taliban. Kapten ODA 595 ialah Mitch Nelson lakonan Chris Hemsworth.

Secara umum, mungkin penonton melihat bahawa tiada yang luar biasa dengan jalan cerita yang disampaikan. Filem dimulakan dengan menunjukkan bahawa tentera juga mempunyai kehidupan bersama keluarga masing-masing. Tetapi konflik (perang) bermula dan mereka terpaksa berbakti di medan perang. Di medan perang, mereka menjadikan janji mereka untuk pulang ke pangkuan keluarga sebagai motivasi terbesar untuk memastikan mereka tidak terkorban. Cliche bukan?

Namun, bagi penulis, jalan cerita filem ini  lain daripada filem perang yang pernah kita tonton sebelum ini. Sudah pasti hero dalam filem ini ialah pasukan tentera Amerika Syarikat. Namun jika kita ketepikan isu tersebut, dan melihat kepada tema kemanusiaan yang cuba dibawa oelh filem ini, ia sebenarnya cukup berbeza. Jeneral Abdul Rashid Dostum dan Kapten Mitch Nelson adalah pemimpin dari dua pasukan yang berbeza dengan matlamat yang pastinya berbeza. Persamaan mereka hanyalah musuh yang sama, pada waktu tersebut. Dan kelainan filem ini adalah apabila ia memaparkan bagaimana taktikal askar tempatan, bukannya askar Amerika Syarikat semata-mata. Filem ini juga sebenarnya cuba memaparkan kekejaman pihak Taliban. Sebagai contoh, terdapat babak pemimpin Taliban membunuh seorang wanita hanya kerana wanita tersebut mengajar anak-anaknya membaca dan mengira. Juga ditonjolkan bahawa Jeneral Abdul Rashid Dostum menentang hal tersebut, menunjukkan bahawa perkara tersebut sebenarnya tersasar jauh daripada ajaran Islam sebenar.

Di sebalik jalan cerita yang kukuh, sinematografi 12 Strong adalah sesuatu yang tidak begitu membanggakan. Shot yang digunakan adalah terlalu biasa dan tidak berjaya membawa penonton untuk lebih menjiwai keadaan perang tersebut. Skor muziknya juga tidak membantu dan tidak memberi kesan tambahan kepada penonton. Untuk filem perang, penulis ternanti-nanti babak slow-motion dan sudut kamera yang membawa penonton ke dalam aksi perang, bukan sekadar menonton dari jauh. Mungkin juga kerana penulis membandingkan filem ini dengan Dunkirk yang mana bagi penulis sebuah filem perang terbaik pernah dihasilkan. Walaubagaimanapun, pujian seharusnya diberikan kepada babak battle yang terakhir. Babak tersebut boleh dikatakan sebagai penyelemat kepada keseluruhan kekurangan sinematografi 12 Strong.

Dari segi lakonan, Chris Hemsworth berjaya membawa watak tersebut dengan baik, membuktikan dia mampu membawa watak hero sebenar, bukan sahaja sebagai seorang superhero di dalam dunia Marvel. Seperti kebiasaan, setiap filem perang di Afghanistan dan Iraq akan mempunyai watak kanak-kanak yang dijadikan tentera dan akhirnya dilindungi oleh tentera Amerika Syarikat. Di dalam 12 Strong, kanak-kanak tersebut ialah Habib. Sama ada hal ini betul-betul terjadi atau sekadar tambahan untuk menunjukkan kebaikan askar Amerika Syarikat, penulis tidak menjumpai sumber untuk mengiyakan mahupun menidakkannya.

Keseluruhannya, 12 Strong adalah sebuah filem perang yang baik dari segi perceritaan namun masih terdapat kekurangan dari segi sinematografi. Apa yang boleh dikatakan adalah tidak rugi untuk menonton filem ini, lebih-lebih lagi ianya adalah sebuah kisah benar yang berkaitan dengan serangan 11 September 2001, satu tragedi yang mengubah landskap dunia moden dan semestinya antara tarikh terpenting dalam sejarah dunia moden.

Tinggalkan komen?