10 Filem 2017 Kegemaran Kami

 

Bagi tahun 2017 kami menonton lebih kurang 70 filem keseluruhan, dan kami merasakan tahun 2017 merupakan satu tahun yang baik untuk pengemar filem.  Ada banyak variasi filem yang dikeluarkan tidak kira penceritaan baru ataupun sekuel.  Untuk memilih 10 filem kegemaran ini kami memilih sepenuhnya berdasarkan perasaan kami selepas menontonya, jadi ada kemungkinan filem yang tersenarai dibawah bukanlah filem terbaik dikeluarkan tahun ini tetapi filem yang kami sangat mengemarinya.  Susunan adalah rawak, jadi senarai ini bukanlah dari baik ke terbaik sebaliknya semua filem adalah lebih kurang sama pada mata kami.

Blade Runner 2049

Blade Runner yang dikeluarkan pada tahun 1982 membawa satu penceritaan yang baik tetapi bagi kami penyampaian agak kurang dan sukar untuk kami menyukainya, tetapi berlainan dengan Blade Runner 2049.  Denis Villeneuve berjaya mengubah Blade Runner menjadi sesuatu yang baru pada masa sama mengekalkan magis dari filem pertama.  Berdurasikan 2 jam 44 minit dan tidak diselingkan tarian atau nyanyian filem ini sepatutnya menjadi sangat panjang, tetapi tidak sedikit pun terasa bahkan kami ternanti untuk versi extended cut bagi filem ini dikeluarkan.  Kebanyakan filem yang panjang biasanya mempunyai banyak pengisian kosong, tetapi bagi Blade Runner 2049 penceritaan yang perlahan menjadikan filem ini lebih baik.  Kami sangat kagum dengan filem ini, oleh kerana itu Blade Runner 2049 adalah filem kegemaran kami untuk 2017.

Star Wars: The Last Jedi

Apa yang menarik bagi kami  bukanlah kerana semata-mata TLJ merupakan filem Star Wars tetapi TLJ adalah filem Star Wars yang membawa sesuatu yang baru, membawa idea yang baru untuk Star Wars.  Mungkin tidak semua akan mengemarinya, dan mereka mempunyai sebab yang harus diterima.  Bagi kami, TLJ adalah filem yang membuatkan kami lebih mengemari Star Wars, kami mengaku, kami bukanalah generasi yang mengikut Star Wars dari awal bahkan The Force Awakens bagaikan filem pertama Star Wars untuk kami.  TLJ membawa lebih banyak penceritaan berbanding The Force Awakens, dan bagi kami TLJ adalah filem terbaik di dalam siri Star Wars dan antara filem kegemaran kami untuk 2017.

Dunkirk

Semasa di peringkat awal produksi filem ini, kami sudah ternanti-nanti kerana ini adalah filem terbaru dari Christopher Nolan yang bagi kami merupakan antara pengarah terbaik untuk dunia filem sekarang.  Apabila menontonnya, kami sedikit pun tidak kecewa walaupun mempunyai jangkaan yang tinggi.  Nolan berjaya membawa filem perang yang tidak mengunakan apa yang biasa kita dapat dari filem perang, aksi, heroic, pengalaman yang sedih dan sekianya.  Untuk Dunkirk, Nolan mengunakan realiti untuk membawa penceritaan.  Dunkirk adalah filem dimana mungkin kita tidak akan mengingati semua watak yang ada tetapi kita akan mengingati penceritaan yang diceritakan.  Ini adalah satu lagi filem yang baik dari Christopher Nolan.

Hacksaw Ridge

Walaupun filem ini merupakan filem tahun 2016, tayangan di Malaysia adalah pada tahun 2017. Merupakan sebuah filem berlatarbelakangkan Perang Dunia Kedua. Berbeza dengan filem-filem perang yang lain, Hacksaw Ridge mengisahkan Desmond Doss yang telah secara sukarela menyertai tentera walaupun beliau ialah seorang penganut Kristian Seventh-Day Adventist yang melarang penganutnya memegang senjata dan melakukan pembunuhan. Selain jalan cerita yang sangat menarik, sinematografi filem ini juga berada pada kelasnya yang tersendiri. Mungkin kerana kisah ini diinspirasikan daripada kisah sebenar, menjadikannya sangat real di mata penonton. Tidak hairanlah filem ini tercalon bagi kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Aktor Terbaik dan Editan Bunyi Terbaik (Best Sound Editing) pada Anugerah Akademi ke-89.

Baby Driver

Pada awalnya kami agak skeptikal dengan filem yang berkonsepkan heist, tetapi Edgar Wright adalah pengarah yang boleh menjadikan apa jenis filem menjadi sangat “cool” dan Baby Driver adalah filem yang sangat cool.  Lakonan Ansel Elgort sangat berkesan dan sebagai watak utama dia berjaya mengerakan keseluruhan filem.  Walaupun kami tidak sangat menantikanya akan tetapi kami berharap Baby Driver dapat menjadi contoh untuk filem-filem heist yang akan dikeluarkan nanti.  Mungkin sukar untuk menjadi sebaik Baby Driver tetapi kami akan terus berharap, Ocean’s 8.

Wonder Woman

Bagi kami, ini merupakan filem superhero terbaik bagi tahun 2017. Semenjak watak Wonder Woman lakonan Gal Gadot diperlihatkan melalui Batwan v Superman: Dawn of Justice pada tahun 2016, ramai ternantikan-nantikan filem ini. Berbekalkan jalan cerita menarik yang menunjukkan asal-usul Wonder Woman serta aksi-aksi yang sangat hebat, tidak hairanlah filem ini bejaya meraih kutipan mencecah USD821juta di seluruh dunia. Filem sekuelnya iaitu Wonder Woman 2 telah dijadualkan untuk ditayangkan pada November 2019. Sama-samalah kita nantikannya.

Arrival

Satu lagi filem arahan Denis Villeneuve dan seperti Blade Runner 2049, kekuatan Arrival adalah kepada penceritaan.  Walaupun bengenrekan sains fiksyen yang memfokuskan kepada makhluk asing, Arrival tidaklah seperti filem-filem alien yang lain, sebaliknya Arrival lebih memfokuskan kepada perhubungan antara manusia dan makhluk asing, perhubungan ini adalah melalui pekara asas apabila bercakap megenai komunikasi iaitu bahasa.  Idea yang dibawa adalah sangat unik dan penceritaan yang walaupun perlahan tetapi cukup untuk mengekalkan perhatian penonton sepanjang filem.

Hidden Figures

Ini merupakan filem autobiografi kedua yang berada di dalam senarai ini. Merupakan filem Disember tahun 2016 tetapi kami menontonnya pada awal tahun 2017. Mengisahkan tentang kehidupan ahli-ahli matematik wanita berkulit hitam yang bekerja di NASA pada sekitar tahun 1960-an yang dikenali sebagai waktu Space Race suatu waktu bila Amerika dan Russia berlumba untuk menghantar manusia ke angkasa lepas dan ke bulan. Tidak pernah kami bayangkan bahawa layanan terhadap orang kulit hitam adalah begitu teruk sehinggakan tandas untuk orang kulit hitam dan putih adalah berasingan. Filem ini juga menarik minat kami kerana memaparkan waktu mula-mula mesin dan komputer diperkenalkan yang akan menggantikan jurukira. Tidak pernah kami bayangkan bahawa jurukira merupakan satu profesion yang penting pada suatu ketika dahulu. Bagi kami, Hidden Figures merupakan antara filem autobiografi bukan perang terbaik yang pernah kami tonton.

Bad Genius

Meniru di dalam peperiksaan, kami tertanya bagaimana cerita yang memfokuskan peperiksaan boleh dijadikan filem.  Bad Genius berjaya melakukanya dengan sangat baik.  Seperti Baby Driver, filem ini juga boleh dikatakan sebagai filem heist, tetapi bukan merompak sebaliknya meniru di dalam peperiksaan secara besar-besaran.  Semua watak di dalam Bad Genius agak kuat, tiada watak yang tidak dikembangkan dengan cukup ini memudahkan penceritaan.  Di tambah lagi dengan sinematografi yang unik dan cantik, menjadikan filem dari Thailand ini setaraf dengan mana-mana filem dari Hollywood.

Logan

Ini ialah filem superhero kedua di dalam senarai ini. Logan merupakan filem solo Wolverine yang ketiga dan terakhir selepas X-Men Origins: Wolverine (2009) dan The Wolverine (2013). Walaupun berdurasi lebih lebih daripada 2 jam, filem ini sarat dengan aksi-aksi yang membina jalan cerita yang amat menarik dan boleh dikatakan agak berlainan daripada filem X-Men sebelum ini. Pengenalan kepada watak kanak-kanak hasil daripada eksperimen makmal Alkali-Transigen yang mempunyai superpower seperti X-Men berjaya dilakukan dengan baik dan tidak tergesa-gesa. Watak Laura, seorang kanak-kanak yang mempunyai superpower seperti Wolverine juga dibentuk dengan begitu baik. Bagi kami, Logan merupakan sebuah penutup yang sempurna kepada Wolverine dan tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai antara filem siri X-Men yang terbaik pernah dihasilkan.

Kami tidak sabar untuk tahun 2018, walaupun ada pelbagai filem superhero yang sudah pasti akan dikeluarkan tetapi kami lebih ternanti-nanti filem yang baru, filem yang tidak berdasarkan mana-mana penceritaan yang sedia ada.  Jika ada filem yang seharusnya dimasukan di dalam senarai ini, kongsikan dengan kami melalui komen dibawah ataupun kongsikan filem-filem kegemaran anda untuk tahun 2017 dan juga filem yang anda ternanti-nanti untuk tahun 2018.

Tinggalkan komen?